You are currently viewing Optimasi Ruang Stesen Secara Kreatif

Optimasi Ruang Stesen Secara Kreatif

Pada zaman ini, stesen minyak bukan sahaja berfungsi sebagai tempat pam minyak, tetapi juga telah menjadi suatu destinasi integrasi yang menyediakan pelbagai kemudahan kepada pengguna jalan raya. Kami sentiasa mendorong para Rakan Niaga untuk mengoptimasikan ruang perniagaan di stesen minyak untuk menambah nilai kepada setiap inci ruang tersebut.

Sebagai contoh, ruang-ruang kecil di dalam kedai serbaneka boleh digunakan untuk meletak mesin penghangat untuk menjual bahan makanan panas segar seperti karipap dan kuih-muih. Ruang-ruang yang lebih luas di kawasan ‘forecourt‘ pula boleh disewa kepada ‘co-brand‘ seperti syarikat kad kredit atau aksesori kereta untuk membuat promosi yang berkenaan (tertakluk kepada kebenaran bertulis daripada pihak Chevron). Penggunaan ruang yang secara optima bukan sahaja bermanfaat kepada jualan Rakan Niaga sendiri, tetapi juga memberi kebaikan kepada para pelanggan dan vendor.

Dalam buletin ini, ingin kami memperkenalkan Sungai Salleh Gasoline di Serdang, Kedah yang telah menunjukkan teladan baik dalam mengoptimasikan ruang stesen minyak. Rakan Niaga, Encik Rikidi Bin Musa dan isterinya Puan Farah Simaa binti Sharip, telah mengubahsuaikan kawasan di tepi bangunan jualan daripada ruang terbiar kepada satu kebun bunga indah yang berjaya menarik perhatian orang ramai.

“Pada mulanya, isteri saya menanam pokok bunga hanyalah sebagai hobi. Namun dari hari ke hari, semakin banyak pelanggan stesen ingin membeli bunga-bunga dari kami kerana kata mereka terlihat indah dan cantik. Usaha penanaman bunga ini menarik pelanggan terutamanya pelanggan wanita kerana mereka tertarik dengan keindahan pokok bunga yang berwarna-warni. Dengan adanya pokok bunga yang berwarna-warni, stesen  pun nampak indah dah ceria, dan menyenangkan hati,” kata Encik Rikidi apabila ditemubual.

“Sejak PKP1.0, kami mula membangunkan perniagaan bunga ini. Jualan bunga ini semakin laris dan mendapat keuntungan yang memberangsangkan. Ia secara tidak langsung membantu jualan minyak dan melariskan jualan minyak di stesen. Ini kerana ada juga yang datang untuk melihat bunga dan terus mengisi minyak di stesen. Ramai pelanggan memuji stesen kerana kelihatan ceria dipenuhi bunga yang mekar dan segar.”

Terima kasih kami ucapkan kepada Sungai Salleh Gasoline kerana sudi berkongsi pengalaman. Stesen ini telah menunjukkan semangat keusahawanan dan kreativiti yang perlu kita belajar bersama-sama.

Leave a Reply